Identiti pejalan kaki maut dilanggar kereta di Jalan Setia Raja belum diketahui

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching memohon orang ramai menghubungi pihaknya, sekiranya mempunyai maklumat mengenai kemalangan yang meragut nyawa seorang lelaki di Jalan Setia Raja, di sini pada 14 Ferbuari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Azri Mohd Azhar di talian 012-9059549.

“Identiti mangsa (si mati) yang merupakan seorang lelaki masih belum diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 7.30 malam 14 Februari lalu, melibatkan sebuah kereta dengan seorang pejalan kaki.

Katanya akibat kemalangan itu, mangsa (pejalan kaki) yang mengalami kecederaan di kepala telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 4.30 pagi, 15 Februari lalu.

Ahsmon berkata pemandu kereta terbabit yang berusia 21 tahun turut ditahan selepas hadir membuat laporan polis pada 15 Februari untuk membantu siasatan.

“Ini bukan kes langgar lari kerana pemandu ada membuat laporan pada 15 Februari.

“Selepas membuat laporan, pemandu itu ditahan bagi tempoh 24 jam untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Suara Sarawak