Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) mendengar taklimat dari Pengurus ladang Dennis Yong (dua kanan) di kilang pengredan telur di Buso, Bau. ‬

BAU: Industri ayam dan telur di negeri ini bercadang untuk memohon bantuan subsidi dari Kerajaan Sarawak berikutan peningkatan kos pengeluaran.

Cadangan itu diterima baik oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut Nanta, cadangan yang dikemukan itu bergantung kepada keputusan Kerajaan Sarawak.

“Melalui bantuan itu serta subsidi RM500 juta dari Kerajaan Persekutuaan baru-baru ini, ia dapat menjamin kelansungan industri termasuk sektor ladang keluaran telur dan ayam.

“Bagi saya cadangan itu boleh diterima dan ia terpulang bagaimana kerajaan negeri dapat membantu.

“Saya berharap perkara ini boleh dipertimbangkan oleh,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke ladang ayam di Buso, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata industri berkenaan terutamanya diperingkat ladang berdepan masalah berikutan kenaikan kos makanan ayam yang perlu diimport selain kenaikan kos buruh yang menyebabkan kekurangan pekerja di ladang.

Katanya, lawatan pada hari ini bersama Kementerian Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (Manred) dapat memahami isu-isu yang dihadapi oleh industri.

Jelasnya, maklumat yang diperoleh itu akan digunakan untuk mencari jalan yang terbaik diperingkat pengeluaran.

Suara Sarawak