SERAH…Ahsmon (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima sempena Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, di sini hari ini. Foto Azzman Rosali.

KUCHING: Sebanyak sembilan kertas siasatan berkaitan kesalahan tatatertib pegawai kanan dan anggota polis serta pegawai awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dibuka pada tahun 2020 dan 2021.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kesalahan membabitkan ketidakpatuhan dalam melaksanakan tugas iaitu pengurusan masa dan perihal peribadi.

“Terdapat juga aduan dari orang awam berkaitan ketidakpuasan terhadap penyampaian perkhidmatan.

“Kesemua kes ini telah selesai. Ia bukan melibatkan jenayah dadah, rasuah dan lain-lain jenayah. Semua ini berkaitan disiplin dan tatatertib,” katanya ketika ditemui media selepas perhimpunan bulanan IPD Kuching, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, tiada kesalahan tatatertib dibuka terhadap anggota dan pegawai polis.

Sehubungan itu, tegasnya, elemen integriti yang ditekankan iaitu disiplin diri perlu diterapkan oleh warga IPD Kuching.

Jelasnya, pengurusan masa merupakan salah satu elemen penting dalam jati diri sebagai anggota polis dan penjawat awam.

Pada perhimpunan tersebut, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 12 pegawai awam IPD Kuching serta dua sijil penghargaan kepada orang awam.

IKRAR… Ahsmon bersama pegawai kanan polis yang lain membaca ikrar pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, di sini hari ini.

Suara Sarawak