KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit sebagai alternatif menggantikan jagung dan soya yang diimport sepenuhnya sebagai makanan ayam.

Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia memandangkan industri pengeluaran ayam dan telur menerima impak kenaikan mendadak dengan kos input makanan jagung dan soya merangkumi 70 peratus kos
penternakan ayam.

“Dengan peningkatan kos pengeluaran maka pihak industri telah mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan
dinaikkan.

“Sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10 sekilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata KPDNHEP mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk memanjangkan
tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian.

Selain itu, katanya KPDNHEP akan memastikan pelaksanaan arahan kerajaan kepada agensinya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk membuat siasatan berterusan bagi memastikan tiada wujudnya kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan
telur.

“KPDNHEP ingin menyatakan sokongan terhadap keputusan proaktif kerajaan dalam memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin bukan sahaja dari segi bekalan tetapi juga pada harga yang tidak membebankan rakyat,” katanya.

Suara Sarawak