Ivann Muammar Imaan Andy (duduk tengah) ditemani ibunya, Syafiza Abg Ya’akub menerima suntikan vaksin Pfizer dalam Pelancaran Vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Hospital Umum Sarawak (HUS)

KUCHING: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Ivann Muammar Imaan Andy menjadi individu pertama di Sarawak menerima vaksin Covid-19 bagi kategori kanak-kanak bawah 12 tahun.

Abang sulung daripada tiga adik-beradik itu antara 30 kanak-kanak yang hadir ke Auditorium HUS sebagai sukarelawan dalam Pelancaran Vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

Beliau yang ditemui Suara Sarawak di lokasi memberitahu sangat teruja biar pun pada awalnya sedikit gementar memandangkan menjadi kanak-kanak pertama menerima vaksin berkenaan.

“Sebelum divaksin ada sedikit rasa gementar tapi selepas itu (selepas suntikan vaksin) saya merasakan biasa saja dan sangat gembira selesai menerima vaksin,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ivann sempat memberi kata semangat agar kanak-kanak sebayanya untuk hadir vaksin berikutan suntikan tersebut tidak begitu menyakitkan.

Ibunya, Dayang Syafiza Abg Ya’akub, 36, yang turut berada di lokasi memberitahu, Muammar bersama adik lelakinya, Iann Ummair Rafique, 9, sudah pun divaksinasi dalam program PICKids pertama tersebut.

Manakala anak bongsunya, Sara Iviannesa Aisya berusia enam tahun kini menunggu slot PICKids yang akan diadakan seterusnya.

“Bagi saya program ini adalah baik yang mana pemberian perlindungan menerusi vaksin tidak hanya diberikan kepada mereka yang dewasa sahaja namun turut diberikan kepada kanak-kanak.

“Kanak-kanak sebenarnya kurang memahami Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam melindungi diri semasa Covid-19, jadi dengan pemberian vaksin kepada mereka sedikit sebanyak memberi perlindungan kepada tubuh badan mereka.

“Justeru, saya sangat menyokong program ini supaya anak-anak mendapat sedikit perlindungan sama seperti kita dewasa,” ujar Jururawat Bahagian Derma Darah HUS tersebut.

Suara Sarawak