Adun Padungan Chong Chieng Jen bercakap pada sidang media sempena hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

KUCHING: Generasi ketiga Cina, India atau mana-mana kaum di Sarawak harus diletakkan sebagai peribumi di negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan Chong Chieng Jen.

Katanya ia selaras dengan prinsip keterangkuman untuk semua dianggap sebagai anak jati Sarawak.

“Apabila mencapai generasi ketiga, anda adalah sama seperti mana-mana orang Sarawak dan oleh itu, tidak sepatutnya ada apa-apa diskriminasi, apa-apa perbezaan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Chong berkata akan mencadangkan pindaan bagi perkara itu semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Tafsiran (Pindaan) 2022 esok.

“Pindaan yang saya cadangkan kepada RUU Tafsiran (Pindaan), 2022 ialah Fasal 2 RUU itu dipinda dengan memasukkan serta-merta selepas perkataan ‘Vaie’ dalam baris baharu, perkataan Cina, India atau mana-mana kaum yang tidak dinyatakan di sini.

“Ia termasuk orang dari kaum mana yang dilahirkan di Sarawak dan ibu bapa kandungnya atau salah seorang daripada ibu bapa kandungnya juga dilahirkan di Sarawak,” katanya.

RUU Tafsiran (Pindaan), 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Muda Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali esok.

Menurut pindaan RUU yang dicadangkan itu, sebanyak 31 kaum dicadangkan untuk dianggap sebagai peribumi Sarawak dalam Ordinan Tafsiran.

Kaum yang dicadangkan ialah Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Bidayuh atau Dayak Darat (termasuk Salako, Rara, Jagoi, Singai, Biatah dan Bukar-Sadong), Bisaya, Buket atau Ukit, Dali, Dusun, Iban atau Dayak Laut, Jatti Miriek, Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Kayan, Kedayan, Kelabit, Kenyah (termasuk Badeng, Sebop dan Seping), Lakiput, Lisum, Logat, Melayu, Melanau, Murut atau Lun Bawang, Narom, Penan, Sa’ban, Sihan, Tabun, Tagal, Tatau, Tring dan Vaie.

Suara Sarawak