Henry (kiri), Miro (kanan) dan Lo (dua kanan) semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari (dua kiri), semalam.

KUCHING: Sepanjang Jalan Bau – Batu Kitang akan diterangi dengan 285 unit lampu solar tidak lama lagi.

Menteri Muda Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep berkata projek itu telah diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebaik sahaja cadangan mengenai projek itu dikemukakan kepadanya.

Katanya cadangan projek bagi kerja- kerja penambahbaikan Jalan Bau- Batu Kitang itu dikemukakan olehnya bersama Adun Serembu Miro Simuh dan Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari, semalam.

“Projek ini akan melibatkan kerja- kerja penambahbaikan jalan serta pemasangan 285 unit lampu solar di sepanjang Jalan Bau- Batu Kitang (khas bagi kawasan yang tiada lampu jalan dan di laluan memotong di kedua- dua belah jalan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Henry yang juga Adun Tasik Biru berkata pemasangan lampu jalan solar adalah penting memandangkan keadaan sepanjang Jalan Bau- Batu Kitang kurang memuaskan terutama pada waktu malam.

“Ketiadaan lampu jalan di sesetengah lokasi jalan tersebut serta permukaan jalan yang tidak rata dan beralun amat membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Menurutnya, kadar penggunaan bagi Jalan Bau – Batu Kitang amat tinggi memandangkan jarak dan masa perjalanan adalah lebih singkat berbanding daripada Jalan Bau – Batu Kawah terutamanya semasa waktu puncak di sebelah pagi dan petang.

Justeru, beliau berkata dengan kelulusan cadangan projek itu, pengguna jalan raya akan dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan selamat.

Suara Sarawak