KUCHING: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan melakukan penutupan dan lencongan sementara di Jalan Main Baazar dan Jalan Gambier, di sini bermula 17 hingga 25 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata penutupan dan lencongan jalan itu dibuat bagi tujuan pemasangan khemah sempena Majlis Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang akan berlangsung di Tebingan Kuching bermula 24 hingga 27 Februari ini.

Selain itu, katanya penutupan jalan sepenuhnya akan dibuat pada 26 Februari semasa majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Penutupan dan lencongan jalan ini akan bermula pada jam 6.30 pagi sehingga majlis selesai, dijangka pada 27 Februari,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Ahsmon berkata orang ramai yang ingin hadir menyaksikan majlis itu dinasihatkan untuk meletak kenderaan di lokasi yang ditetapkan iaitu sepanjang kiri Jalan Tunku Abdul Rahman, tempat letak kereta Poliklinik Jalan Masjid, tempat letak kereta Jalan Khoo Hun Yeang, Bangunan Saujana dan Taman Reservoir.

Selain itu, beliau berkata semua petak letak kenderaan di sepanjang kiri Jalan Main Bazar menghala ke Jalan Tun Abang Haji Openg akan dikosongkan pada 26 Februari bermula jam 6.30 pagi bagi memberi ruang kepada perjalanan program.

Dalam pada itu, Ahsmon berkata orang ramai dinasihatkan untuk memilih laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan pada majlis perasmian acara berkenaan.

“Kenderaan dari arah Jalan Tunku Abdul Rahman dinasihatkan bergerak terus ke Jalan Ban Hock atau Jalan Mcdougall untuk mengelak kesesakan di lokasi penutupan Jalan Main Bazaar.

“Kenderaan dari arah Jalan Haji Taha boleh membuat pusingan di bulatan Masjid Bahagian untuk mengelak kesesakan di lokasi penutupan Jalan Gambier,” katanya.

Ahsmon menambah orang ramai juga dinasihatkan untuk merancang masa perjalanan pada hari tersebut sekiranya mempunyai urusan di kawasan pusat bandar dan mematuhi tanda-tanda isyarat kawalan lalu lintas yang diarahkan oleh pegawai polis yang bertugas.

Katanya tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada orang ramai yang mengingkari arahan pegawai polis yang bertugas.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuching di takian 082-221129 pada waktu pejabat.

Suara Sarawak