HUBUNGAN antara Internet dengan manusia pada zaman yang serba digital ini bagaikan api dengan asap, tidak dapat dipisahkan kerana terlalu bergantung dengan kemudahan tersebut.

Tidak dapat dinafikan, banyak hal positif yang boleh diperoleh ketika melayari Internet, namun terdapat juga kesan negatif dalam kemudahan yang disediakan di seluruh dunia itu. Secara logiknya, kita tidak dapat mengawal semua aktiviti yang dilakukan oleh orang di sekeliling ketika menggunakan perkhidmatan tersebut kerana setiap individu mempunyai hak masing-masing.

Jika dilihat dengan mata kasar, kini orang ramai lebih kerap bersama telefon pintar, di mana sahaja mereka berada, walaupun sedang berkumpul bersama keluarga atau kawan-kawan. Tidak kira tua atau muda, telefon sentiasa melekat di tangan walaupun tidak mempunyai sebarang tujuan penting untuk menatap skrin gajet tersebut.

Dalam kalangan anak-anak pula, jelas bahawa mereka lebih suka berada dalam bilik masing-masing untuk bermain komputer atau telefon menggunakan perkhidmatan Internet berbanding dengan kanak-kanak zaman dahulu yang lebih kerap bermain di luar bersama rakan-rakan.

Malah, ada juga yang terlalu ketagih dengan perkhidmatan tersebut sehingga membuatkan mereka marah apabila tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar dan tidur lewat kerana leka melayari Internet. Menurut Laporan Eksekutif Dapatan Kajian Tanda Aras Tahap Keselamatan Siber Dalam Kalangan Murid Sekolah dan Ibu Bapa 2021/2022, sikap tersebut adalah antara tanda-tanda ketagihan dalam kalangan anak-anak.

Laporan itu dikeluarkan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan 16,908 responden terdiri daripada murid sekolah dan ibu bapa di seluruh negara.

Secara terperinci, responden yang dipilih terdiri daripada 13,953 murid sekolah rendah dan menengah serta murid pendidikan khas selain 2,955 ibu bapa. Sementera, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengulaskan bahawa kanak-kanak yang ketagihan Internet juga cenderung untuk bermain dengan telefon pintar berbanding keluar bermain dengan kawan-kawan.

“Kadar ketagihan Internet di Malaysia ketika ini agak tinggi berbanding kebanyakan negara-negara lain. “Kajian mendapati ketagihan internet berlaku disebabkan tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan ibu bapa dan ia boleh mengundang risiko keselamatan siber terhadap generasi muda,” katanya.

Tambahnya, ketagihan tersebut sekali gus boleh menyebabkan anak-anak terlibat dengan akses kandungan internet tidak sesuai, risiko transaksi dalam talian, kelemahan pengurusan kata laluan, ancaman orang tidak dikenali dan serangan pancingan data.

Justeru, penekanan perlu diberikan terhadap komponen yang dinyatakan dan ibu bapa atau penjaga perlu memantau aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak dalam talian bagi mencegah kejadian sedemikian daripada berlaku.

Tiada siapa yang terkecuali daripada ketagihan ini, namun ia agak membimbangkan terutama dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka adalah pelapis masyarakat untuk masa hadapan.

Jika anak-anak tidak dikawal dan dipantau dari awal, nescaya sukar untuk membentuk semula keperibadian mereka kerana sudah terbiasa dengan kegiatan seharian yang dilakukan. Kita tidak mahu melihat mereka terlalu obses dengan dunia maya sehingga lupa dengan realiti yang perlu dihadapi setiap hari. Ibu bapa atau penjaga perlu tegas terhadap anak-anak berkaitan isu ini kerana jika dibiarkan pasti akan menyukarkan keadaan kelak.

Seperti yang berlaku di Sepanyol barubaru ini, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah membunuh ibu bapa dan adik lelakinya selepas pertengkaran keluarga mengenai Wi-Fi Mengikut laporan, ibu kepada remaja tersebut menarik akses Internet sebagai hukuman atas prestasi yang menurun di sekolah dan juga keengganannya membantu tugas-tugas di rumah.

Susulan tindakan yang diambil oleh ibunya, remaja tersebut mengambil senapang patah lalu menembak ahli keluarganya ketika mereka pulang ke rumah.

Ketagihan tidak seharusnya diambil ringan kerana ia boleh menyebabkan mental seseorang menjadi tidak sihat sehingga boleh melakukan perkara yang tidak dijangkakan tanpa teragak-agak.

Sekiranya generasi ini rosak akibat ketagihan tersebut, tiada siapa yang dapat menjangka apa akan berlaku pada pembangunan masyarakat serta negara kita khususnya pada masa akan datang.

Oleh itu, setiap seorang daripada kita mesti meletakkan satu sasaran yang unggul dan menjadi warga digital yang bertanggungjawab ke atas diri sendiri serta orang lain demi masa depan.

Melalui cara tersebut, negara pasti dapat membentuk komuniti digital yang berilmu, berdaya tahan dan mapan dalam mendepani ancaman siber yang semakin dinamik selari dengan peredaran zaman.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak