Jangkitan Covid-19 terus meningkat di Sarawak

KUCHING: Kadar jangkitan Covid-19 di Sarawak terus menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 424 kes baharu dilaporkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 257,536 kes.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 219 kes merupakan kategori 1, 196 kes dalam kategori 2, lima kes kategori 3, masing-masing dua kes kategori 4 dan 5,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, kata JPBN Daerah Kuching mencatatkan kes jangkitan tertinggi iaitu 142 kes, Sibu (90), Miri (72), Kapit (25), Bintulu (24), Limbang (16), Sarikei (10), Lawas (9) dan Samarahan (5).

“Manakala masing-masing empat kes di Betong dan Subis, tiga kes di Pakan dan Song, dua kes di Serian, Matu, Bukit Mabong, Kanowit dan Marudi manakala satu kes di Tanjung Manis, Julau, Bau, Asajaya, Sebauh, Daro dan Belaga,” ujarnya.

Tambah JPBN, tiada kes kematian dilaporkan manakala hanya dua kluster yang masih aktif.

Suara Sarawak