HASIL pengalaman bekerja dan memiliki kemahiran mekanikal, Jeffery Fabian, 50, dari Kampung Tabo, secara aktif menghasilkan mesin memproses lemantak dari rumahnya sendiri.

Usaha Jeffery ini turut membantu memenuhi keperluan permintaan sagu tempatan di Mukah ketika ini.

Menurut Jeffery, dia bergerak kecil-kecilan sejak 2001 menghasilkan lemantak bersama-sama isterinya Tay Mei Ing, 42.

Malah, menurutnya dalam tempoh pandemik Covid-19 pada awal 2020, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diterapkan, beliau cuba mempertingkatkan sendiri semua kelengkapan mesinnya itu.

“Semua ini adalah daripada bahan terpakai, yang diubah suai daripada rim motosikal dan enjin berharga RM1,000. Barang lain juga dibeli termasuk kayu ‘bearing’, tong dan kelengkapan mesin lain termasuk penapis, lapisan aluminium dan banyak lagi secara kasar lebih RM5,000.

“MESIN ini idea sendiri, ringkas tapi berkesan digunakan. Ini juga hikmah pengalaman saya bekerja sebagai mekanik di kilang.

Daripada minat dan pengalaman kerja, saya cipta sendiri mesin untuk hasilkan lemantak ini,” katanya.

Jeffery berkongsi kisahnya itu ketika ditemui Suara Sarawak di kilang mininya yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Tabo Mukah.

Beliau menunjukkan tiga mesin yang telah dan sedang dihasilkannya sendiri, dari mesin membuang kulit rumbia, mesin memarut sehingga kepada mesin menapis.

Ujar Jeffery lagi untuk sebulan dia dan isteri mendapat keuntungan bersih sekitar RM2,000.

Menurutnya dia dapat membeli barangan lain dan digunakan sebagai modal pusingan untuk PKS-nya itu.

BEKALAN LEMANTAK TEMPATAN

Jeffery yang bergerak aktif bersama-sama isterinya menjelaskan, perusahaan yang diusahakannya itu banyak membantu memenuhi permintaan perusahaan sagu bakar di sekitar Mukah.

“Dalam sehari biasanya kita dapat hasilkan lapan pasu lemantak, bersamaan 10 potongan batang kecil rumbia.

Kilang ini turut menerima tempahan untuk lemantak kiub saiz silinder, dihantar sehingga ke Matu dan Bintulu.

“Sepasu lemantak bersamaan 40 kilogram berharga RM32, manakala untuk satu kiub, kita jual RM1.50.

Ini biasanya saya hantar dan ada juga yang ambil sendiri dari kita,” jelasnya yang mula bekerja seawal 8 pagi dan berakhir 2 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

“Pada sebelah petang biasanya saya akan tuai hasil lemantak yang ditapis dan mendapkan sehingga segala kotoran terpisah.

Kita pam tiga kali tapisan untuk memastikan lemantak bersih.

Proses pembungkusan juga dilakukan sendiri.

KILANG LEBIH SELESA

Ketika ini, Jeffery berhasrat memperluas perusahaannya itu dengan memiliki kilang luas dan selesa ketika dia masih bergelut dengan kekangan modal.

“Setakat ini, semua ini dihasilkan saya sendiri. Saya memang tidak mendapat bantuan.

Saya hanya memohon mendapatkan geran untuk saya membeli mesin, enjin, tong air dan sebagainya.

Menurut Jeffery, cabaran lain dihadapi antaranya kekurangan batang rumbia, kerosakan mesin yang memerlukan penyelengaraan dengan kos tinggi dan perlu menukar mesin baharu.

Sementara itu, menurut beliau lagi, pada musim banjir, operasi kilang terganggu, kilang ditenggelami banjir dan semua mesin terpaksa diangkat tinggi.

Malah, sepanjang PKP dan tempoh pandemik Covid-19, Jeffery turut mengakui perusahaannya itu terjejas akibat pergerakan terhad dengan pemintaan kiub lemantak di pasaran Mukah turut terjejas.

Jeffery menambah, dia kini mengambil masa mencari modal bagi membaik pulih kesan akibat banjir baru-baru ini dan menunggu bajet bagi menaik taraf kawasan kilang mininya itu.

“Saya ada memohon daripada Jabatan Pertanian.
Mereka sendiri melihat dan meninjau, namun belum ada khabar tentang itu…”

TERIMA KASIH

Jeffery berterima kasih kepada pengguna khususnya penduduk Mukah yang selama ini menyokongnya berterusan.

“Semoga usaha ini berterusan dan impian saya membuka lebih besar PKS ini terlaksana.

“Saya harap pihak kerajaan dan pihak berkaitan dapat membantu saya yang masih mengeluarkan modal sendiri ketika ini.

Jeffery berharap agar penduduk Mukah dapat sama-sama tampil membangun perusahaan penghasilan lemantak ini.

Jeffery berdaya inovatif dan terus gigih memajukan perniagaannya sendiri sehingga mampu membantu pengusaha kilang sagu bakar di sekitar Mukah dalam mendapatkan bekalan tepung sagu basah atau lemantak.

Melalui kegigihan Jeffery itu, diharap lebih ramai yang tampil menjalankan perusahaan berkenaan.

Mungkin ada pihak berminat membantu membangunkan inovasi mesin pemprosesan Jeffery dan sanggup menyediakan modal tambahan untuk Jeffery bergiat lebih aktif.

Suara Sarawak