KUCHING: Pengurusan Aeroville Mall yang tidak jauh dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bakal mengadakan Aktiviti Derma Darah buat julung kalinya pada 27 Februari ini (Ahad).

Program yang ditaja oleh Kumpulan Lee Onn menyasarkan sejumlah beg darah untuk membantu Hospital Umum Sarawak mendapatkan bekalan darah secara berterusan akan diadakan seawal jam 9.00 pagi di aras satu pusat beli-belah tersebut.

Para penderma darah yang telah cukup tempoh pendermaan iaitu pada tiga bulan lepas atau lebih dialu-alukan hadir memberikan sokongan.

Mereka yang berminat untuk menderma darah buat kali pertama juga dijemput hadir.

Antara syarat menderma darah ialah berumur 17 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan berat badan melepasi 45 kilogram.

Bakal penderma juga dinasihati untuk makan dan minum air kosong sebelum hadir menderma dan membawa bersama kad pengenalan.

Aeroville Mall yang juga merupakan penaja lokasi aktiviti derma darah sebelum ini turut berbesar hati menyediakan sumbangan cenderamata berupa barangan keperluan harian dan baucar bernilai RM40 kepada penderma yang berjaya menderma darah pada hari tersebut.

Hospital Umum Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 beg darah setiap hari untuk operasi harian dan membekalkan beg darah kepada hospital-hospital daerah dan hospital swasta yang berhampiran.

Sokongan dan keprihatinan masyarakat amat diharapkan agar kelancaran operasi rawatan di HUS berjalan dengan lancar.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan dengan menghubungi talian 082 276797 (pejabat), 082 276795 (Unit Perhubungan Awam) pada hari bekerja atau 010 8578909 (Borhan).

Suara Sarawak