Puan Sri Datuk Corrine Masing (lima kiri) menyerahkan replika cek kepada Pengurus Rumah Amal Chesire Sarawak Jane Sebastian (tiga kanan) sambil disaksikan oleh (dari kiri) Setiausaha Politik Ketua Menteri Charles Chad Nissom, Edwin Banta dan Baetrice Kedoh, Ketua Wanita PRS, Datuk Seri Doris Sophia Brodie, Pemangku Presiden PRS Datuk Salamg Gandum dan Setiausaha Agung PRS Datuk Janang Bungsu. Foto: Ramidi Subari

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) secara konsensus dijangka meletakkan Datuk Joseph Salang Gandum sebagai Presiden baharu parti itu.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PRS Datuk Janang Bungsu, sambil menjelaskan bahawa jawatan tertinggi parti itu tidak akan dipertandingkan pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) PRS yang akan diadakan di Sibu pada 24 April nanti.

“Majlis Tertinggi PRS memutuskan untuk tidak mengadakan pemilihan bagi jawatan tersebut (Presiden).

“Kata sepakat juga telah dicapai dalam kalangan pemimpin parti untuk tidak mempertandingkan jawatan itu,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan di Rumah Amal Chesire Sarawak, Jalan Ong Tian Swee, di sini hari ini.

Datuk Janang Bungsu.

Sumbangan cek berjumlah RM5,000 dari Cahya Mata Sarawak telah disampaikan oleh isteri mendiang James Masing, Puan Seri Corrine Masing kepada Pengurus Rumah Amal Chesire Sarawak Jane Sebastian.

Jawatan Presiden PRS kini dipangku oleh Joseph, selaku Timbalan Presiden parti susulan kematian Tan Sri Dr James Jemut Masing pada 31 Oktober tahun lepas.

Pada masa sama, Janang turut membidas khabar angin mengenai terdapat calon yang memancing jawatan itu.

Katanya PRS pada ketika ini masih dalam tempoh berkabung pemergian mantan presiden mereka (James Masing) dan mengharapkan proses TDC berjalan dengan lancar.

“Sebagai sebuah parti kukuh, tidak perlu ada pergelutan dan perebutan untuk jawatan presiden parti,” katanya.

Sementara katanya, TDC PRS diadakan pada April setelah mendapat maklum balas daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Pada mesyuarat agung terdahulu, kami mengumumkan untuk mengadakan pada 7 Mei. Kami memohon kepada ROS untuk memberi kami sedikit masa.

“ROS telah memberi maklum balas kepada kami untuk mengadakan TDC pada penghujung April.

“Sebab itu kami adakan pada 24 April berdasarkan tempoh yang diberikan oleh ROS kepada kami,” jelasnya.

Beliau berkata persidangan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sementara persidangan bagi pemuda dan wanita PRS akan diadakan sehari awal iaitu pada 23 April.

Suara Sarawak