KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) memohon maaf susulan isu gangguan bekalan elektrik yang dilaporkan berlaku di BDC dan kawasan sekitarnya di sini, pada Ahad dan Isnin lalu.

Pengurus Wilayah SEB Wilayah Barat, Choo Min Chong berkata, masalah tersebut berpunca daripada kerosakan yang dialami pada sambungan kabel bawah tanah voltan tinggi.

“Pada malam Ahad, pasukan teknikal di dilokasi menemui sambungan kabel bawah tanah yang rosak dan segera mengasingkannya, elektrik berjaya dipulihkan 90 minit kemudian melalui sumber bekalan alternatif.

“Seterusnya pada Isnin sekitar 9 malam, satu lagi sambungan kabel yang rosak menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan yang sama.

“SESCO segera mengerahkan pasukan operasinya untuk menilai kerosakan dan elektrik dipulihkan secara berperingkat dengan semua kawasan mendapat semula bekalan sekitar jam 1.15 pagi, Selasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, elektrik tersebut berjaya dipulihkan melalui sumber bekalan alternatif dengan sokongan beberapa penjana mudah alih yang ditempatkan dari stesen berdekatan seperti Serian dan Sri Aman.

“Kerja-kerja pembaikan yang meluas telah disiapkan pada jam 2.00 pagi keesokan harinya, 23 Februari.

“Justeru, kami memohon maaf atas kesulitan yang disebabkan oleh gangguan ini dan terima kasih atas kesabaran anda kerana membantu kami meminimumkan tempoh gangguan,” katanya lagi.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan SEB di talian 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com atau menggunakan aplikasi mudah alih SEBcares untuk melaporkan gangguan bekalan elektrik.

Suara Sarawak