SEMAKIN SERASI…Abu Kamara (belakang) semakin serasi bersama rakan-rakan baharunya.

KUCHING: Ketua Jurulatih Kuching City FC (KC FC), Irfan Bakti Abu Salim gembira dengan perubahan positif penyerang import, Abu Kamara ketika ini.

Meskipun baharu beberapa hari menyertai latihan bersama kem The City Boys, namun bintang kelahiran Liberia itu sudah mampu menyesuaikan diri dengan rakan-rakan baharunya.

“Ia petanda positif bagi Kamara untuk memperlihatkan keupayaan sebenarnya selepas ini,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Irfan percaya pemain import terbabit memerlukan sedikit masa lagi untuk memastikan tahap kecergasan dirinya berada pada tahap maksima.

KC FC kini sudah mempunyai empat pemain import termasuk Aylton Ferreira Ananias (Brazil/Pertahanan), Yuki Tanigawa (Jepun/Pertahanan) serta Keanu Marqhael Marsh-Brown (England/Pertahanan).

Dalam pada itu, Irfan memberitahu pemain KC FC akan terbang ke Semenanjung pada hujung minggu ini untuk mengharungi tiga aksi pemanas badan menentang Selangor FC, Negeri Sembilan FC dan PJ City.

Katanya, perlawanan tersebut amat penting untuk menguji kelibat dua pemain import baharunya (Abu Kamara & Keanu Marqhael Marsh-Brown).

Suara Sarawak