Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam memegang kamus Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) selepas sidang media bersama wartawan, hari ini (Foto Mohd Azzman Rosali)

KUCHING: Masyarakat perlu didedahkan dengan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) bagi meningkatkan persefahaman dari aspek komunikasi antara individu biasa dan mereka yang mengalami masalah pendengaran (pekak).

Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam berkata, ia selaras dengan misi Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memberi pendedahan berkaitan pembelajaran BIM bermula dari pendidikan awal kanak-kanak.

“Pendedahan tersebut perlu diterapkan kepada anak-anak seawal usia tiga tahun sekali gus mempromosikan kepentingan BIM agar bahasa tersebut dapat dikuasai pada masa akan datang.

“Apabila masyarakat dapat menguasai BIM, hubungan dengan komuniti pekak dapat dieratkan di samping meningkatkan persefahaman antara kedua-dua pihak melalui komunikasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Bengkel Pemerkasaan Orang Pekak 2022, di Hotel Imperial, Boulevard, di sini, hari ini.

Suara Sarawak