SAYA MEMBERITAHU ANAK SAYA BAHAWA TUHAN TAHU DIA SAKIT

KUCHING: Ketika diberitahu mengenai anaknya menghidap kanser, hatinya hancur berkeping-keping namun tenang. Tetapi kasih ibu selalu mengatasi segala-galanya, apabila anak diduga musibah, ibulah yang akan bersama-sama mengharunginya.

Apatah lagi menjaga dua insan tersayang dalam satu masa. Itulah pengalaman yang ditempuhi wanita hebat, Jacqueline David  Impi, yang menjaga anak dan adik kandung dengan kasih sayang yang sarat di dada. Namun kesungguhan, keikhlasan serta kasih sayang menjadi merupakan pembakar semangat serta kunci penting untuk anaknya terus berjuang meneruskan kehidupan.

“Semasa mendapat berita anak saya, Yzara Mindun Churchill, 29, anak kedua daripada tiga beradik menghidap kanser payudara, saya cukup tenang. “Dia memberitahu berita itu melalui panggilan telefon kerana ketika itu bekerja di Pulau Pinang. Yzara disahkan menghidap kanser payudara tahap dua pada September 2020.

CINTA IBU… Jacqueline sentiasa memberi sokongan dengan Yzara untuk berdepan dengan dugaan kanser payudara. | Foto IHSAN JACQUELINE DAVID

“Perkara pertama yang saya fikirkan waktu itu untuk segera terbang ke Pulau Pinang bagi memberikan sokongan terutamanya dari segi emosi,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam sempena Hari Kanser Sedunia. Menurut Jacqueline, pada masa sama beliau juga sedang menjaga adiknya, Leslie Jawa David Impi, 53, yang menghidap kanser telinga, hidung dan tekak.

“Jadi saya sedar dan mengetahui tentang kanser ketika itu kerana ia berlaku kepada adik saya dan dia masih bujang serta tinggal dengan saya. Jadi sayalah yang menjaga dan menghantarnya ke hospital. “Namun Tuhan lebih menyayangi adik saya, dia meninggal tahun lalu,” ujarnya dan mengakui ketika tulisan ini ditulis, beliau berasa ada kesayuan terbit dari hati kecilnta.

Berbalik kepada kisah Yzara, Jacqueline memberitahu beliau dan suaminya terbang ke Pulau Pinang pada hari Yzara menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kiri di salah sebuah hospital di sana. “Ketika melawatnya, Yzara kelihatan sihat dan tidak sakit, dalam masa yang sama meminta saya membungkus makanan untuknya. Saya fikir….nampaknya dia menerima kenyataan ini dengan baik.

“Saya tenang dan memeluknya sambil memberitahu, tidak mengapa membuang payudara kerana kecantikan dalaman tidak terletak di luar tetapi di dalam dirinya. “Saya memberi jaminan bahawa segala-galanya akan baik-baik saja, terus bersikap positif, tidak perlu risau tentang perkara lain serta mengingatkannya bahawa doa sangat penting. “Saya memberitahunya, Tuhan tahu bahawa dia sedang dalam kesakitan,” ujarnya.

Tambah Jacqueline, Yzara seterusnya kembali ke Kuching pada Januari 2021 dan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak kerana baginya Kuching merupakan rumahnya dan tempat terbaik untuk memulihkan diri.

“Kali ini hati saya menjadi sayu apabila mengetahui banyak ujian dibuat, kansernya telah meningkat ke tahap empat kerana sel barah yang teruk merebak ke paru-parunya sebesar syiling 50 sen (1.2cm).

“Saya tidak dapat memikirkan apa-apa tetapi seorang ibu akan melakukan apa-apa sahaja untuk anak perempuannya. “Kesan selepas itu datang kepada saya, saya hanya mampu menangis. Anak perempuan saya tenang. Kenapa dia mendapat kanser? Tanya saya kepada diri saya sendiri,” katanya.

Katanya lagi, Yzara terpaksa menjalani enam kitaran kemoterapi dan beliau menghantarnya setiap kali temu janji hospital kerana mereka tinggal di rumah yang berasingan. “Rutin saya ketika itu memandangkan masih PKP, saya akan memandu untuk mengambilnya dari rumah, menghantarnya ke HUS dan selepas prosedur selesai, kami akan pulang ke rumah dan saya akan menjaganya sehingga dia tidur.

“Ketika itu juga rutin makanan berubah sepenuhnya. Sehingga sekarang makanannya hanya yang berkhasiat (tiada barbequ, makanan mentah, gula dan lain-lain) selain makanan tambahan Izumio dan Olemio. “Selepas beberapa bulan mengambil makanan dan makanan tambahan yang sihat, dia menjalani imbasan CT sekali lagi dan mendapati sel kanser dalam paruparunya mengecut kepada 0.8 cm.

Ini merupakan berita baik. “Secara keseluruhan saya positif dan sentiasa mengingatkan anak perempuan untuk terus positif. Paling penting dia disayangi oleh semua orang. Saya percaya bersikap positif dalam apa-apa jua keadaan dia. Dan dia melakukan itu,” katanya.

Jacqueline berkata, setakat November 2021, Yzara menjalani pemeriksaan tiga bulan sekali selepas didapati kesihatannya perlahan-lahan pulih tetapi masih belum bebas kanser. “Justeru, sempena Hari Kanser Sedunia, saya berharap semua penjaga berani untuk mengambil berat, ia bukan satu tugas yang mudah.

Tetapi cinta dan kasih sayang kita terus bersinar sepanjang sebagai sokongan penting. “Dan kepada semua pesakit kanser, saya doakan anda terus positif dan berjuang,”

PENGUAT SEMANGAT… Yzara sentiasa mendapat sokongan daripada ibu dan adik-beradiknya.

Suara Sarawak