KUCHING: Bekas ketua pasukan bawah 16 tahun England, Keanu Marqheal Marsh-Brown, 29, sah menyarung jersi pasukan Kuching City FC (KC FC).

Sekali gus, merupakan pemain import keempat untuk The City Boys musim ini. Selain Aylton Ferreira Ananias (Brazil/Pertahanan), Yuki Tanigawa (Jepun/Pertahanan) dan Abu Kamara (Liberia/Penyerang).

Menurut Pengerusi KC FC, Fazzrudin Abdul Rahman, pemain yang berketinggian 5 kaki 11 inci itu sudah menandatangani kontrak bersama KC FC untuk semusim, pada pagi tadi.

“Keanu merupakan pemain import keempat kami pada musim ini,” ujar Fazzrudin kepada Arena Suara Sarawak.

Tambah beliau, pihaknya amat berharap kehadiran Keanu dapat menambah sengat di bahagian serangan untuk skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dalam mengharungi kempen Liga Premier 2022.

Untuk rekod Keanu Marqheal pernah menyarung jersi Fulham (2009-2011) selain pernah beraksi bersama kelab Gloucester City (2020-2021).

IMPORT KEEMPAT KC FC…Fazzrudin (dua kanan) menyerah dokumen kontrak kepada Keanu Marqheal Marsh-Brown (tiga kanan) selesai majlis menandatangi kontrak.

Suara Sarawak