PEMILIK Junkies, Mohammad Azree Zaidi.

PENGALAMAN sepanjang 10 tahun serta minat terhadap minuman kopi mendorong lelaki berusia 32 tahun ini membuka kedai kopi miliknya sendiri sebagai punca pendapatan.

Pemilik Kedai Junkies, Mohammad Azree Zaidi memberitahu, ilmu yang diperoleh sepanjang bekerja dengan pelbagai kedai dan restoran sangat berguna dan membantu dirinya membuka perniagaan tersebut.

“Sejak 2012, saya bekerja di pelbagai kedai kopi termasuk kedai biasa sehinggalah yang terkenal seperti Starbucks demi mencari pengalaman dan ilmu untuk membuka perniagaan sendiri.

“Setelah mempelajari pelbagai ilmu dan perkongsian daripada pencinta kopi, saya mengambil keputusan untuk membuka kedai milik sendiri menggunakan semua ilmu yang ada,” katanya kepada Suara Sarawak.

Katanya, ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang sepuluh tahun lalu sangat membantu dirinya menjalankan perniagaan dari segi penggunaan alat tertentu dan cara pembuatan yang terbaik.

Jelasnya, dia bukan sekadar membancuh kopi seperti selalu, namun perlu melalui proses dan menggunakan peralatan tertentu untuk mengeluarkan hasil yang terbaik.

Antara peralatan yang diperlukan untuk memproses kopi tersebut seperti Vietnam Dripper, Hario V60, French Press dan Aeropress agar kopi yang dihasilkan dapat dirasakan dengan lebih nikmat.

Tambahnya, keunikan kopi yang dijualnya terletak pada cara pembuatan kopi itu sendiri kerana tidak menggunakan mesin automatik, malah dibancuh secara manual menggunakan peralatan yang dijelaskan.

Pada masa yang sama, Azree yang merupakan graduan dalam bidang kulinari turut memberitahu bahawa kedainya menyediakan pelbagai jenis kopi mengikut pilihan pelanggan.

“Ada tiga jenis bijirin kopi yang boleh dipilih oleh pelanggan mengikut kemahuan mereka iaitu Indonesia Sumatra Mandheling, Ethiopia Sidamo serta Vietnam Arabica dan setiap satu mempunyai keunikan rasa yang tersendiri.

“Semua biji kopi tersebut akan dikisar dan dibancuh semasa pelanggan membuat pesanan kerana ingin memastikan rasa asli kopi dikekalkan apabila diminum,” katanya.

Dalam pada itu, dirinya juga menjelaskan bahawa pelanggan mempunyai minat masing-masing terhadap tiga jenis bijirin yang disediakan, justeru sukar untuk menyatakan jenis kopi yang paling digemari pelanggan.

Mengulas lanjut berkaitan perniagaan yang dijalankan, beliau juga memberitahu bahawa kedainya sentiasa mengalami revolusi dari segi menu untuk menarik minat pelanggan.

Jelasnya, menu yang pelbagai akan dapat menarik perhatian orang ramai.

Oleh itu, dia cuba menjual makanan ringan yang sesuai untuk digandingkan dengan kopi yang dijual.

Kata Azree, dia perlu mencari alternatif untuk memastikan pelanggan tertarik dengan barang jualan agar perniagaan dapat terus dijalankan dan dikekalkan pada masa akan datang.

“Sebelum membuka kedai Junkies, saya bermula dengan nama Cerita Kopi pada 2019 yang terletak di sekitar kawasan Jalan Merdeka, namun terhenti akibat penularan wabak Covid-19.

“Setelah hampir setahun terpaksa menutup Cerita Kopi, saya terfikir untuk membukanya semula menggunakan penjenamaan semula kepada Junkies dan digunakan sehingga sekarang,” ujarnya.

Jelasnya, perniagaan tetap menjual kopi, tetapi ditambah dengan sedikit makanan yang pelbagai dengan harapan dapat menarik minat orang awam.

Pada awal pembukaan Junkies, sambutan pelanggan agak perlahan, namun selepas beberapa bulan beroperasi, perniagaan mula semakin baik.

Bagaimanapun, ia tidak berkekalan kerana ada masalah-masalah yang dihadapi termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diarahkan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak.

Azree menjelaskan bahawa kejadian tersebut memang menjejaskan perniagaan yang dijalankan, namun itulah cabaran yang perlu dihadapi sebagai seorang peniaga ketika situasi pandemik ini.

“Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan bahawa varian Omicron mula menular di Malaysia.

“Saya berharap agar kerajaan dapat mengambil langkah bijak untuk mengawal situasi tersebut.

“Langkah-langkah tertentu perlu diambil oleh setiap pihak agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan demi masa depan rakyat dan negara,” katanya dengan nada yang prihatin.

Suara Sarawak