KUCHING: Kerajaan Sarawak berusaha keras memberikan fokus kepada pelan pemulihan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, mereka mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan lebih-lebih lagi selepas mendapat mandat besar dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tahun lalu.

“Perkara tersebut juga penting terutama sekali dalam usaha untuk memastikan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 dapat dicapai sekaligus menjadikan negeri ini kukuh, makmur dan inklusif.

“Justeru, saya berharap agar tahun ini kita akan mencapai pemulihan yang berterusan seiiring dengan tahun harimau,” katanya ketika berucap sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP yang berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

BERUCAP… Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berucap sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP yang berlangsung secara maya menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Mengenai sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina secara maya, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu berkata walaupun dalam keadaan Covid-19 ia tidak menghalang komuniti Cina di negeri ini untuk bersama-sama meraikannya.

“Dua tahun kebelakangan ini, Covid-19 telah menyebabkan ramai yang terjejas tetapi dengan semangat solidariti Sarawak kita dapat menghadapinya bersama-sama.

“Justeru saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang masih bekerja sehingga hari ini dan saya mesti mengatakannya dengan bangga kerana rakyat Sarawak dapat bersatu ketika Covid-19 melanda,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga mengatakan Sarawak berada di landasan yang betul dan berharap agar hasrat untuk mencapai negeri termaju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 dapat dicapai.

Suara Sarawak