KEADAAN kenderaan yang rentung selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Pematoh.

BETONG: Tiga cedera sementara kenderaan yang dinaiki rentung setelah terlanggar tayar belakang lori ketika berselisih di Jalan Pematoh, petang semalam.

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Betong, Vincent Baling Yabi, kemalangan melibatkan Perodua Myvi yang dinaiki tiga mangsa dan sebuah lori.

“Kami yang dimaklumkan tentang insiden sekitar 4.41 petang, terus bergegas ke lokasi dan mendapati sebuah kereta terbakar.

“Nasib pemandu dan penumpang bagaimanapun agak baik apabila berjaya dikeluarkan oleh pekerja projek pembinaan Lebuh Raya Borneo sebelum kenderaan terbakar,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, mangsa Faidessy Faizul, 19 dan Alvin Inoka, 32 mengalami kecederaan ringan sementara Daniel Naveenraj Govenda Raju, 22, patah paha kanan.

Terang Vincent, kenderaan yang dinaiki ketiga-tiga mangsa bergerak dari arah Sibu hendak ke Kuching.

“Kereta tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar tayar belakang sebelah kanan lori semasa berselisih pada satu lencongan di Jalan Pematoh.

“Ini menyebabkan kereta terlanggar pembahagi jalan sebelum berpusing dan terdampar di bahu jalan lalu terbakar,” ujarnya.

Pihaknya bertindak memadam kebakaran tersebut menggunakan bekalan air daripada tangki jentera.

Operasi yang diketuai PBK Sapuan Abu tamat 5.34 petang.

 

Suara Sarawak