PENYERAHAN CEK SIMBOLIK oleh Pengarah Yayasan Sarawak Tuan Haji Mersal Abang Rosli (dua dari kanan) kepada Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid pada 9 Februari lalu di pejabat cawangan Yayasan Sarawak Kuala
Lumpur dengan dihadiri beberapa pegawai daripada kedua-dua pihak.

KERAJAAN Sarawak melalui Yayasan Sarawak menyalurkan peruntukan pertama RM30 juta pada 2020 untuk membantu pelajar Sarawak meringankan beban pinjaman PTPTN.

Semenjak itu, inisiatif ini memanfaatkan seramai 9,899 pelajar Sarawak yang membayar balik sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pinjaman mereka pada 2020.

Setakat ini, Kerajaan Sarawak menyalurkan jumlah terkumpul bernilai RM32.67 juta bantuan membantu pelajar membayar balik pinjaman PTPTN mereka.

Pada 9 Februari lalu, satu majlis penyerahan cek secara simbolik peruntukan dana tersebut dilakukan oleh Pengarah Yayasan Sarawak Tuan Haji Mersal Abang Rosli kepada Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid di pejabat cawangan Yayasan Sarawak Kuala Lumpur.

Turut hadir beberapa pegawai daripada kedua-dua pihak.

Pada 2021, dijangka inisiatif ini terus memberi manfaat kepada 12,700 anak Sarawak yang dikenal pasti oleh PTPTN tamat pengajian dengan jayanya dan melangsaikan 30 peratus dan ke atas pinjaman PTPTN mereka.

Ringankan Beban Kewangan

Pelajar Kerajaan Sarawak berazam meringankan bebanan kewangan pelajar terutama akibat wabak Covid-19.

Yayasan Sarawak bertindak sebagai perantara antara Kerajaan Negeri dan PTPTN untuk inisiatif ini.

Selain itu, pelajar tidak perlu memohon untuk insentif ini.

Insentif ini dilaksanakan secara automatik oleh PTPTN kerana mereka sendiri mengenal pasti pelajar yang sudah menamatkan pengajian dengan jayanya dengan membuat bayaran balik mencapai 30 peratus dan ke atas kepada PTPTN.

Pelajar dapat menyemak kelayakan di laman sesawang www. ptptn.gov.my untuk insentif ini.

Jika ada sebarang kemusykilan berkenaan insentif ini, pelajar boleh menghubung terus PTPTN.

Peminjam yang tiada dalam kumpulan pertama ataupun dalam senarai kumpulan kedua, tidak perlu risau kerana PTPTN mengeluarkan senarai peminjam bagi mereka yang layak untuk seterusnya.

Peminjam yang tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan penerima terawal diproses dalam kumpulan berikutnya.

Namun pelajar masih disarankan membayar balik pinjaman PTPTN dengan tetap kerana membayar balik pinjaman itu satu tanggungjawab.

Suara Sarawak