KUCHING: Konsert muzik sape yang bakal dimainkan oleh 250 pemain pada malam penutup Citrawarna Keluarga Malaysia pada Ahad bakal mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sape yang merupakan alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu itu akan dimainkan oleh pemain dari seluruh Malaysia secara serentak selama lima minit.

“Lebih 100 orang pemain sape akan membuat persembahan secara fizikal di Jambatan Darul Hana, manakala selebihnya sekitar 70 orang bermain secara hidbrid. Ini pertama kali dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di sekitar tempat penganjuran Citrawarna Malaysia di Kuching, hari ini.

Kesemua pemain yang akan terlibat terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik yang berkongsi minat terhadap sape sekali gus untuk memartabatkan muzik tradisional Sarawak.

Program yang julung kali diadakan di Sarawak itu membuka tirainya pada Khamis, berlangsung selama empat hai sehingga Ahad ini dari jam 10 pagi hingga 11 malam, antara lokasi terlibat adalah Tebingan Kuching, Padang Merdeka, Jalan Main Bazar, Jalan Carpenter serta hotel utama.

Suara Sarawak