KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui agensinya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melakukan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 yang telah dimansuhkan bermula 1 Mac 2022 sehingga 30 Jun 2022.

Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan inisiatif baharu itu diharap dapat membantu komuniti peniaga untuk meneruskan perniagaan di dalam persekitaran perniagaan yang mencabar pada ketika ini akibat penularan wabak Covid-19.

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia untuk meringankan beban komuniti korporat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta membantu pemulihan ekonomi negara pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata SSM turut meneruskan pelaksanaan inisiatif yang diperkenalkan tahun lalu seperti di bawah inisiatif kedua, iaitu Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), yang menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa.

Selain itu, katanya bagi inisiatif ketiga, SSM meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) secara percuma yang diharapkan dapat menggalakkan golongan OKU menceburi bidang perniagaan secara sah.

Bagi inisiatif keempat, Alexander berkata SSM akan melanjutkan tempoh masa pendaftaran SSM BizTrust kepada entiti-entiti perniagaan yang berdaftar dengan SSM secara percuma sehingga 31 Disember 2022.

Untuk inisiatif kelima, beliau berkata SSM mencadangkan pindaan bagi menambah baik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 berkaitan mekanisma
penyelamat korporat dan skim kompromi atau perkiraan.

“Penambahbaikan serta pindaan ini akan membolehkan syarikat-syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian agar syarikat boleh terus beroperasi.

“Inisiatif ini adalah penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutama sekali akibat daripada kesan pandemik Covid-19 agar kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara,” katanya.

Melalui inisiatif keenam pula, Alexander berkata SSM memperkenalkan peruntukan-peruntukan berkaitan mekanisma penyelamat korporat di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 bagi entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang menghadapi masalah kewangan.

Katanya Rang Undang-Undang (RUU) itu bertujuan menambah baik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat bagi PLT.

“RUU ini juga akan memperkenalkan peruntukan mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.

Suara Sarawak