Roland Sagah (dua kanan) mewakili Ketua Menteri merasmikan Karnival Jom Masuk Institut Pengajian Tinggi (IPT) Zon 3 Sarawak di BCCK, Kuching, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada Universiti Teknologi Mara (UITM) dalam usaha melahirkan siswa dan siswazah yang mempunyai daya kreativiti, inovasi serta berdaya saing.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk ditempatkan dalam pengurusan kerajaan negeri, agensi-agensi awam dan korporat.

“Pihak pengurusan UiTM hendaklah berusaha melahirkan pelajar yang mempunyai semangat daya saing yang tinggi bagi membantu pembangunan kerajaan negeri melestarikan pembangunan pasca-Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS2030).

“Justeru itu, Sarawak akan sentiasa memberi sokongan kepada pihak universiti dalam segala bentuk bantuan antaranya membantu tenaga pengajar dan pelajar yang memerlukan biasiswa dengan mewujudkan geran demi menjayakan sektor penyelidikan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menggalakan para pelajar untuk menjalankan latihan praktikal di agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Perasmian Karnival Jom Masuk Institut Pengajian Tinggi (IPT) Zon 3 Sarawak di sini, hari ini.

Tambahnya, UITM juga sudah lama bertapak di Sarawak serta telah berjaya melahirkan siswa dan siswazah tempatan yang banyak mengharumkan dan membanggakan negeri serta mampu bersaing dengan institusi-institusi lain di seluruh Malaysia.

Mengenai karnival yang berlangsung selama dua hari itu, ia merupakan inisiaitif ke arah melebar luas akses peluang pendidikan tinggi khususnya bagi lepasan SPM, STPM dan yang setaraf dengannya.

Melibatkan penyertaan daripada 60 IPT, lapan Institut Latihan Kemahiran Awam, agensi dan kementerian yang berkaitan dengan pendidikan.

Turut hadiri Naib Canselor UITM Prof. Datuk Ts Dr. Roziah Mohd Janor dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof Datuk Dr Jamil Hamali.

Suara Sarawak