KUCHING: Pembentukan saiz kabinet ditentukan oleh kedinamikan dan kesungguhan kerajaan untuk mencapai matlamat bagi menunaikan janji kepada rakyatnya, kata Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Menurutnya, untuk melonjakkan pembangunan negeri, kerajaan perlu mencipta lebih banyak portfolio bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, mengikuti arus kemodenan, kemunculan perkhidmatan dan teknologi terkini.

“Malah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertindak membentuk kabinet negeri mengikut bidang kuasa Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak iaitu Ketua Menteri dengan 10 anggota kabinet. Ini telah menjadi amalan sejak tahun 1995.

“Sarawak ketika ini mempunyai seorang Ketua Menteri dan 10 Menteri Penuh. Selebihnya adalah Menteri Muda tanpa kekangan perlembagaan,” katanya.

Asfia berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dun Sarawak Ke-19: Persidangan Dewan Khas dan Saiz Kabinet Sarawak di Bangunan Dun, di sini, hari ini.

Tambahnya, hujah bahawa saiz kabinet negeri mesti menepati nisbah penduduknya adalah satu olok-olok lama yang tidak relevan.

“Ia hanya helah digunakan oleh parti-parti politik yang berpusat di Semenanjung untuk menafikan dan mengenepikan permintaan Sarawak sekali gus cerminan rabun mereka dalam hal ehwal negeri.

Tegasnya, kemenangan besar 76 kerusi daripada 82 adalah bukti yang cukup bahawa rakyat mengharapkan Kerajaan GPS membawa pembangunan dan kesejahteraan untuk rakyat.

Sementara mengenai imbuhan dan gaji anggota kabinet yang memegang lebih daripada satu portfolio, Asfia berkata ia tertakluk di bawah Seksyen 11 Ordinan Ahli Pentadbiran dan Adun (Imbuhan, Pencen dan Ganjaran), 2013.

Suara Sarawak