BINTULU: Pembinaan rangkaian lebuh raya dan jalan perhubungan merupakan elemen penting dalam menggerakkan nadi pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri ini menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau yakin dengan adanya sistem rangkaian lebuh raya yang baik seperti projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak , ia akan memberi impak yang besar khususnya dalam aspek pembangunan sosioekonomi rakyat.

“Bagi saya dengan adanya sistem jaringan lebuh raya yang baik, projek ini mampu menarik syarikat asing untuk melabur di Sarawak dan seterusnya membuka banyak peluang pekerjaan terutama di kawasan perindustrian Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmikan pembukaan Jajaran Seksyen Nyabau Pakej Kerja 10 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, di Bintulu, hari ini.

Jajaran Seksyen Nyabau adalah satu daripada tiga bahagian dalam Pakej Kerja 10 dari Batu 5 ke Jejambat Nyabau dan Simpang Jalan Bakun ke Sg Tangap.

Kerja-kerja pembinaan Seksyen Nyabau bermula pada 1 Mac 2017 dan siap sepenuhnya pada 26 Januari lalu dengan kos keseluruhan RM164 juta.

Persimpangan bertingkat Nyabau sepanjang 1.2 kilometer itu merupakan persimpangan bertingkat terpanjang dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Suara Sarawak