Gambar hiasan

SARIKEI: Seorang lelaki berusia 38 tahun dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunan dadah, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, DSP Benedict Faris Jimoy berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Katanya penahanan suspek pada jam 9.30 malam itu dibuat selepas polis menemui satu paket disyaki mengandungi dadah jenis syabu semasa pemeriksaan dilakukan ke atas tubuh badan suspek.

“Sebelum itu, dia didapati berkelakuan mencurigakan di hadapan sebuah kedai di Jalan Abdul Rahman, di sini.

“Susulan itu, dadah jenis syabu seberat 0.29 gram yang dianggarkan bernilai RM30 turut dirampas untuk dijadikan bahan kes,” katanya.

Beliau berkata, sebagai tindakan lanjut, lelaki terbabit turut dibawa ke Bahagian Narkotik IPD Sarikei.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak