Lelaki didenda, pecah kerusi dan meja makan isteri

KUCHING: Seorang lelaki berusia 32 tahun dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan sengaja merosakkan harta milik isterinya hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM35.00.

Tertuduh Kamarolezwan Kadrie, 32, yang berasal dari Kampung Kranji mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perkara tersebut dalam sebuah rumah berek di Jalan Kuching-Serian, di sini, sekitar jam 6.10 petang, 14 Februari lalu.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, sekitar jam 6.10 petang, suami pengadu telah mengamuk dan memarahi anak-anak pengadu hanya disebabkan perkara kecil berlaku.

Tertuduh kemudian bertindak agresif lalu memecahkan kerusi plastik dan meja makan hingga menyebabkan pengadu kerugian berjumlah RM35.00.

Pengadu yang bimbang akan keselamatan diri dan anak-anaknya lalu membuat laporan polis seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh dua hari selepas kejadian.

Difahamkan, tertuduh yang panas baran sering bertindak agresif dan pernah memukul serta mengasari pengadu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Suara Sarawak