KUCHING: Seorang lelaki berusia 35 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mendatangkan kecederaan terhadap teman wanitanya selepas mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Noorhalim, 35, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan dengan menumbuk mata sebelah kiri mangsa berusia 38 tahun hingga menyebabkan kecederaan bengkak dan lebam.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah pangsa di Bukit Lintang, kira-kira jam 12.05 malam, 11 Febuari lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, punca kejadian berlaku adalah disebabkan oleh perasaan cemburu tertuduh setelah mengesyaki mangsa ada menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Mangsa kemudian membuat laporan polis, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuching pada 13 Februari lalu, kira-kira jam 4 petang.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak