KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki sebilah pisau panjang di dalam kenderaan.

Tertuduh, Mohd Long Zul’ain, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jason Juga.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memiliki pisau panjang berukuran 22.5 sentimeter di Jalan BDC, di sini, sekitar jam 1.55 pagi, 13 Februari lepas.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen disini, hari ini, oleh anggota polis.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa pengadu bersama anggota polis yang lain sedang membuat rondaan cegah jenayah di Jalan BDC, sekitar jam 1.55 petang, 13 Februari lepas ternampak sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan telah dibuat dan sebilah pisau panjang miliknya yang berukuran lebih kurang 22.5 sentimeter ditemui dalam beg sandang.

Difahamkan, tertuduh juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau sejak tahun 2011.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak