Sungai Samong di mana mayat mangsa telah dijumpai terapung

DARO: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan dua wanita warga Indonesia pada 12 dan 14 Februari lalu.

Kedua-dua mayat wanita itu ditemui terapung di Sungai Samong.

Ketua Polis Daerah Matu Daro Deputi Superintendan Neil Beginda berkata, suspek berumur 31 tahun berbangsa Bajau berkenaan ditahan pada jam 3.30 petang di tepi Jalan Sentral Daro pada Sabtu lalu.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 20 Februari 2022 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan kes tersebut yang dipercayai berlaku di Rc Dermaga Sungai Samong Daro pada 12 Februari lalu.

Berdasarkan hasil siasatan katanya, kes tersebut melibatkan tiga mangsa perempuan warganegara Indonesia berumur dalam lingkungan 41 hingga 47 tahun dan dua daripada mangsa dipercayai telah dipukul seterusnya dibunuh di lokasi berasingan sebelum dicampak ke dalam sungai di tempat kejadian.

“Mayat wanita pertama ditemui terapung pada 12 Februari manakala mayat kedua ditemui dua hari kemudian di sungai yang sama manakala wanita ketiga dipercayai rakan mangsa yang dibunuh ditemui terselamat,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suara Sarawak