KUCHING: Seorang lelaki berumur 58 tahun ditemui meninggal dunia di hempap lantai bilik tidur tingkat satu sebuah rumah di Jalan Green, di sini hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kejadian dilaporkan berlaku 2.56 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

Jelasnya, setibanya di lokasi, lantai bilik tidur telah runtuh dan mangsa dipercayai seorang diri sama terlibat dalam runtuhan tersebut.

“Kejadian dipercayai telah berlaku beberapa hari yang lalu dan hanya disedari oleh abang mangsa pada hari ini setelah mangsa gagal dihubungi.

“Pihak bomba membongkar timbunan peralatan dalam runtuhan rumah dan berjaya menemui mangsa yang telah dipercayai meninggal dunia beberapa hari yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Suara Sarawak