Kelibat lelaki yang sanggup meninggalkan motosikalnya bagi melarikan diri selepas menyedari sekatan jalan raya (SJR) Op Selamat sempena Tahun Baru Cina 2022 di Jalan Kuching-Samarahan Express Way, pada 1 Februari lalu.

KUCHING: Polis sedang mengesan lelaki yang melarikan diri meninggalkan motosikalnya selepas menyedari sekatan jalan raya (SJR) Op Selamat sempena Tahun Baru Cina 2022 di Jalan Kuching-Samarahan Express Way, pada 1 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan boleh berhubung dengan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Mathew Manggie di talian 012-8854849 atau 082-274018.

Menurutnya, semasa SJR dilaksanakan, seorang anggota trafik yang bertugas telah mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha dalam keadaan mencurigakan.

Ekoran itu, katanya anggota trafik terbabit cuba menghampirinya namun suspek bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di antara kenderaan yang bergerak perlahan.

“Anggota trafik itu bertindak mengejar suspek hingga menghampiri Jambatan Kuap menghala ke Kota Samarahan.

“Namun suspek yang dipercayai warga Indonesia telah berjaya meloloskan diri ke dalam hutan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata insiden kejar-mengejar antara anggota trafik dan suspek telah dirakam oleh pengguna jalan raya yang melalui lokasi SJR berkenaan dan menjadi tular di media sosial.

Beliau berkata motosikal yang ditinggalkan suspek telah disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara, Alexson berkata hasil SJR itu telah mengeluarkan sebanyak 211 keping saman atas pelbagai kesalahan.

Suara Sarawak