Keadaan motosikal mangsa yang hilang kawalan di Batu 21 Jalan Kuching-Serian, hari ini.

PADAWAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan di Batu 21 Jalan Kuching-Serian, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa, 21, sedang bergerak lurus di lorong kanan dari arah Kuching menuju ke Serian.

Katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan.

“Mangsa disahkan maut ditempat kejadian oleh paramedik dan dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Padawan Insp Kenneystra Bin Pius ditalian 014-982 8198 atau Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.

Lokasi berlaku kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7 pagi. Ketika kejadian, mangsa bergerak lurus dari arah Kuching menuju ke Serian

Suara Sarawak