Anggota SAR membawa mayat mangsa ke Jeti Sungai Maaw dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

SIBU: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Sungai Rejang ketika memukat ikan berdekatan Pangkalan Feri Sungai Maaw, Paradom di sini pada Sabtu lalu dijumpai mati lemas, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan berkata, mayat mangsa yang dikenali Sia Yik Heng, 63, dijumpai terapung oleh orang awam berdekatan Sanyan Playwood Industrial, kira-kira lima kilometer dari tempatnya dilaporkan hilang.

“Anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menerima panggilan daripada pihak polis berhubung penemuan mayat mangsa pada jam 9.35 pagi.

“Pasukan SAR terus ke lokasi yang dimaklumkan untuk mengambil mayat mangsa dan kemudian membawa ke Jeti Sungai Maaw untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Pada Sabtu lalu, mangsa memaklumkan kepada isterinya bahawa dia keluar untuk memukat ikan di Sungai Rajang berdekatan dengan Pangkalan Feri Sungai Maaw, Paradom pada jam 8.15 pagi.

Mangsa difahamkan pergi seorang diri dengan menggunakan perahu miliknya.

Mangsa berjanji balik ke rumah pada jam 12.30 tengah hari untuk menghantar anaknya ke Lapangan Terbang Sibu, namun tidak balik ke rumah seperti yang dijanjikan.

Isteri mangsa juga cuba menghubunginya namun gagal.

Pada jam 4 petang hari yang sama, keluarga mangsa keluar mencarinya di kawasan berdekatan tetapi cuma menjumpai kereta milik mangsa dalam keadaan berkunci yang ditinggalkan di pangkalan tersebut.

Susulan itu, isteri mangsa tampil membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Lanang pada jam 8.30 malam Sabtu, sebelum operasi SAR dijalankan.

Mayat mangsa ditemui terapung berdekatan Sanyan Playwood Industrial, kira-kira lima kilometer dari tempatnya dilaporkan hilang.

 

Anggota SAR membawa mayat mangsa ke Jeti Sungai Maaw dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Suara Sarawak