KUCHING: Sarawak akan sentiasa membuat kempen kesedaran kanser agar kemudahan untuk merawat pesakit disediakan dengan lebih baik.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian memberitahu, malah pesakit kanser tidak dibiarkan berseorangan berhadapan dengan penyakit tersebut kerana mereka akan dibantu sedaya upaya sesuai dengan tema Hari Kanser Sedunia tahun ini iaitu ‘Close the Care Gap’.

“Melalui kempen tersebut juga kita ingin memastikan pesakit kanser lebih yakin dan kuat meneruskan perjuangan melawan penyakit tersebut,” katanya melalui video pendek yang ditayangkan ketika Pelancaran Musik Video Sempena Hari Kanser Sedunia, hari ini.

Beliau dalam pada itu, mengucapkan tahniah kepada Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (Scan) serta penyanyi dan penulis lagu tempatan, Alena Murang kerana berjaya menghasilkan lagu yang bermakna khas untuk pesakit kanser.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Kesatuan untuk Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) Cary Adams menjelaskan pemilihan tema itu dengan harapan dapat menggariskan ketidaksamaan jurang rawatan yang berlaku di seluruh dunia.

“Dalam erti kata lain, peluang individu untuk mendapatkan rawatan kanser berbeza-beza atas beberapa faktor.

“Sebagai contoh, ada negara yang memiliki ubat-ubatan yang khusus untuk merawat manakala ada kawasan yang tidak mendapat ubat tersebut kerana sumber tidak diagihkan sama rata,” jelasnya.

Oleh itu, katanya tema yang digunakan sempena Hari Kanser Sedunia kali ini bertujuan untuk memberi kesedaran terhadap isu tersebut.

Tambahnya, kerjasama dengan Alena Murang dalam melancarkan lagu khusus kepada pesakit kanser diharap dapat menjadikan tema tersebut sebagai realiti melalui penyampaian lagu.

Suara Sarawak