RAMPAS…wang tunai, sehelai kain tertera gambar ikan, udang, ketam, ayam, harimau, labu serta kong aluminium dan dadu yang dirampas pasukan operasi.

BAU: Lima lelaki dicekup polis dalam satu serbuan ketika leka bermain judi holo di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Jambusan, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, serbuan dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menerusi Op Limau kira-kira jam 12.45 tengah malam.

Katanya, lima suspek yang ditahan termasuk tuan rumah berumur antara 22 hingga 61 tahun.

“Pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai, sehelai kain tertera gambar ikan, udang, ketam, ayam, harimau, labu; seunit kong aluminium berwarna Perak; tiga biji dadu tertera gambar ikan, udang, ketam, ayam, harimau, labu; seunit meja berwarna kelabu dan dua unit kerusi plastik berwarna putih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kelima-lima suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

“Kesemua suspek telah di bawa ke Balai Polis Bau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Suara Sarawak