Asfia pada sidang media Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dun Sarawak Ke-19 di Bangunan Dun, Kuching, hari ini. Turut kelihatan Datuk Idris Buang (kiri) dan Pele Peter Tinggom (kanan).

KUCHING: Sebanyak lima Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan akan dibentangkan pada Persidangan Pertama bagi Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19 yang akan selama tiga hari, minggu depan.

Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak dua RUU baharu dan tiga RUU pindaan bakal dibentangkan dari 14 hingga 16 Februari ini.

Menurutnya, persidangan kali ini juga menyaksikan tiada sesi soal jawab di dalam Dewan dan sesi penggulungan oleh para menteri.

“RUU baharu adalah RUU Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah, 2022 dan Lembaga Industri Getah Sarawak, 2022 yang akan dibentang oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom.

“Sementara RUU pindaan adalah RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022, RUU Tafsiran (Pindaan), 2022 dan RUU Perbekalan Tambahan (2021), 2022,” katanya.

Asfia berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dun Sarawak Ke-19: Persidangan Khas dan Saiz Kabinet Sarawak di Bangunan Dun, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asfia memberitahu bacaan pertama bagi kesemua RU tersebut akan dilakukan pada hari kedua persidangan iaitu Selasa, 15 Februari 2022.

Dalam perkembangan sama, Asfia memberitahu pihak DUN tidak menerima sebarang usul daripada Ahli Dewan Biasa sehingga tarikh tutup penghantaran usul pada 4 Februari lalu.

Tegas Asfia, persidangan tersebut diadakan bagi Ini bagi memenuhi keperluan seperti yang termaktub dalam Artikel 21(4) Perlembagaan Sarawak bahawa DUN baharu hendaklah dipanggil untuk bermesyuarat pada tarikh tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran.

Turut hadir Timbalan Speaker Datuk Idris Buang dan Setiausaha DUN Sarawak Pele Peter Tinggom.

Suara Sarawak