Henry Jinep bercakap kepada pemberita sempena Majlis Penghargaan Bersama Media di Bung Konis, Singai di sini semalam.

KUCHING: Daerah Bau mungkin akan ketinggalan dari segi pembangunan jika pajakan perlombongan di sekitarnya tidak dilupuskan, kata Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Henry Harry Jinep.

Menurutnya berkata meskipun tiada lagi aktiviti perlombongan emas dilakukan namun tanah luas di Bau masih di bawah pajakan perlombongan, sekaligus menghalang pembangunan di atas tanah dilakukan.

“Terdapat 13 pajakan perlombongan di Bau, ada yang masih aktif dan ada yang sudah tamat tempoh.

“Walaupun buat masa ini tiada aktiviti perlombongan dilakukan tetapi kalau hendak menunggu tempoh pajakan perlombongan itu tamat tempoh, kita sudah terlalu lambat (untuk melaksanakan pembangunan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penghargaan Bersama Media di Bung Konis, Singai di sini semalam.

Sehubungan itu, Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tasik Biru memohon agar kerajaan mengkaji semula sama ada aktiviti perlombongan itu betul-betul memberi hasil yang lebik baik kepada Sarawak atau sebaliknya.

Katanya sekiranya pajakan perlombongan itu tidak dilupuskan, maka tanah-tanah itu sukar dibangunkan sekaligus membantutkan usaha untuk mentransformasikan Bau menjadi sebuah kawasan membangun menerusi perumahan, tarikan pelancong termasuk hotel, peranginan dan sebagainya.

“Kalau melombong emas, sudah tentu mendapat hasil tapi belum pasti berapa hasilnya.

“Maka sewajarnya pembangunan di atas tanah dilakukan…ini juga dapat mengelakkan isu alam sekitar,” katanya.

Suara Sarawak