Mengaku curi 10kg ikan bilis, dua sahabat dipenjara dan didenda

KUCHING: Dua sahabat baik dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mencuri 10 kilogram ikan bilis dalam sebuah pasar raya terkemuka di Jalan Matang, 14 Februari lepas.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Nor Atiqah Abdullah, 29 dan Siti Hajar Yussop, 23, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan bersama di hadapan mereka.

Mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh mula menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan 16 Februari lepas dan sekiranya gagal membayar denda akan dipenjarakan dua bulan.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati mencuri satu beg plastik ikan bilis seberat sepuluh kilogram dalam sebuah pasar raya terkemuka di Jalan Matang, sekitar jam 9.30 malam, 14 Februari lepas.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, sekitar jam 9.30 malam, pengadu telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh yang menaiki sebuah kereta jenis salon mencuri satu beg plastik ikan bilis yang diletak di kawasan tertutup kaki lima kedai.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan kepada kedua-dua tertuduh.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman berat sebagai pengajaran.

Suara Sarawak