Awang Tengah menyampaikan Anugerah Prestasi Cemerlang kepada salah seorang penerima pada Majlis Apresiasi MINTRED di Kuching, malam tadi.

KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) akan melaksanakan sebanyak 45 projek pembangunan di seluruh Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM228.2 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)

Menterinya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setakat ini sebanyak 12 projek sedang dalam pembinaan, manakala selebihnya dalam pelbagai peringkat seperti pertapakan, pelantikan juruperunding dan reka bentuk.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar semua pegawai dapat memberikan komitmen dan kerjasama yang padu bagi memastikan projek-projek yang telah dirancang ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Dalam masa yang sama kementerian ini hendaklah sentiasa menambah baik kemudahan perkhidmatan dan perniagaan bagi menjadikan negeri ini terus menjadi destinasi pilihan pelaburan dan perdagangan,” katanya.

Awang Tengah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian pada Majlis Apresiasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan di sini, malam tadi.

Tambahnya, program-program pembangunan usahawan kementerian juga harus dirancang agar menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pengukuhan kapasiti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Melalui pelan pembangunan pasca-Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS2030), kerajaan negeri menyasarkan peningkatan 40 peratus pendaftaran perniagaan PKS, 70 peratus PKS mengadaptasi platform digital dan 6,000 usahawan baru dibangunkan,” ujarnya.

Awang Tengah dalam pada itu berkata beliau berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian kementeriannya sepanjang tempoh dua tahun mengharungi pandemik Covid-19.

Suara Sarawak