KUCHING: Pembasmian kemiskinan menjadi antara perkara penting yang digariskan dalam Pelan Pelaksanaan dan Tindakan (AIP) bagi merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (SPPC) 2030.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion berkata ia selaras dengan hasrat untuk memastikan menjelang 2030, isi rumah miskin di Sarawak akan dibebaskan daripada kemiskinan.

“Ini akan dilakukan dengan memupuk nilai dan sikap yang baik, mewujudkan ekosistem betul untuk pembangunan modal insan dan menggalakkan penyertaan aktif dalam aktiviti menjana pendapatan,” katanya.

Datuk Amar Jaul Samion.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran AIP bagi SPPC 2030 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Isnin, serta turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Sementara Jaul berkata, AIP ialah pelan terperinci yang menggariskan tindakan khusus yang diperlukan untuk mencapai hasil dan aspirasi SPPC 2030, terutamanya untuk memastikan agensi pelaksana sangat jelas tentang hasil yang dirancang mereka.

Selain itu, katanya untuk memastikan tindakan bagaimana mencapai hasil dan aspirasi serta memastikan kesinambungan pelaksanaan rancangan bagi menampung perubahan dalam kepimpinan agensi pelaksana pada masa hadapan. “Orang mungkin datang dan pergi, tetapi AIP kekal selama sekurangkurangnya 10 tahun,” katanya.

Jaul menambah, ia menjadi alat yang sangat berguna, yang akan memetakan strategi ke dalam langkah atau fasa ke arah mencapai matlamat segera, sederhana dan jangka panjang Kerajaan Sarawak.

Katanya, ia akan menjadi panduan atau rujukan untuk memastikan Sarawak berada di landasan yang betul dan tidak menyimpang daripada aspirasinya. “Kesemua enam sektor ekonomi dan tujuh pemboleh dalam SPPC 2030 mempunyai inisiatif AIP yang unik,” katanya.

Suara Sarawak