KUCHING: Penantian kini berakhir apabila muzium terbesar di Malaysia, Muzium Budaya Borneo bakal dibuka kepada orang ramai bermula 9 Mac depan.

Lebih menarik, kemasukan ke bangunan berkeluasan 31,000 meter persegi setinggi lima tingkat tersebut adalah percuma untuk tempoh tiga bulan pertama pembukaannya.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, pelawat digalakkan untuk menempah terlebih dahulu lawatan mereka bermula 1 Mac ini kerana kemasukan adalah terhad kepada 500 orang di dalam bangunan pada satu masa.

“Muzium kedua terbesar di Asia Tenggara ini bakal dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada jam 8 malam, 4 Mac depan dengan ucapan perasmian akan disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Karim merakam gambar di hadapan Muzium Budaya Borneo selepas sidang media pembukaan muzium tersebut di Kuching, hari ini. Foto Ramidi Subari

“Selepas itu diikuti persembahan video yang menunjukkan sejarah negeri Sarawak dari mula sehingga sekarang. Sementara jumlah kehadiran tetamu jemputan dihadkan kepada 300 orang sahaja,” ujarnya.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata demikian pada sidang media khas pengumuman pembukaan Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, muzium bertaraf dunia yang direka dan dilengkapi dengan kemudahan teknologi abad ke-21 itu mempunyai ruang pameran interaktif berkeluasan 6,638 meter persegi dan menampilkan tiga tema berbeza disetiap tingkat.

Muzium yang menelan kos RM323 juta itu bakal dibuka bermula jam 9 pagi hingga 4.45 petang untuk hari Isnin hingga Jumaat, manakala jam 9,30 pagi hingga 4.30 petang bagi hujung minggu.

Bangunan lima tingkat itu terdiri daripada pameran tetap, galeri kanak-kanak, pameran sementara, bilik majlis, bilik VIP, auditorium, restoran, kantin, dan kedai cenderamata. Terdapat juga galeri seni dan kraf yang merangkumi makmal aktiviti khas dan studio tarian.

Suara Sarawak