Muzium Perlombongan Emas dan Taman Bau dibina tidak lama lagi
Henry Jinep bercakap kepada pemberita sempena Majlis Penghargaan Bersama Media di Bung Konis, Singai di sini semalam.

BAU: Pembinaan Muzium Perlombongan Emas dan Taman Bau dijangka dilaksanakan tidak lama lagi, kata Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Henry Harry Jinep.

Menurutnya, projek itu yang diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 30 Disember 2021 dengan nilai RM15 juta kini dalam proses membuat tapak.

“Selepas itu akan membuat pelantikan konsultan, kemudian membuat rekaan dan tender,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penghargaan Bersama Media di Bung Konis, Singai di sini semalam.

Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tasik Biru berkata pembinaan muzium itu sangat penting kerana ia akan menjadi mercu tanda baharu bagi Daerah Bau.

Katanya ia kerana kawasan ini mempunyai sejarah tersendiri menerusi aktiviti perlombongan emas sejak lebih 200 tahun dahulu.

Malah, katanya emas juga telah menjemput orang China, British dan Brunei Darussalam datang ke Bau.

“Liu Shan Bang (China), Raja Muda Hashim (Brunei) dan James Brooke (British) datang ke Bau disebabkan perlombongan emas.

“Muzium ini akan menjadi simbol yang menunjukkan bahawa Bau sudah wujud lebih 200 tahun…tanpa emas, tidak ada Bau,” katanya.

Suara Sarawak