KUCHING: Pemain perseorangan wanita Badminton Para Sukan Malaysia (SUKMA) Nursyazwani Shahrom optimis untuk mempertahankan dua pingat emas yang pernah dimenanginya dalam acara perseorangan wanita/ SL4 dan beregu campuran pada temasya Para Sukma 2018.

Atlet kelahiran Sibu itu kini menjalani latihan di sini, bersama-sama rakan sepasukan lain.

Beliau dijangka menyertai kejohanan Sirkit 1 dan 2 Badminton Para Kebangsaan 2022 di Pusat Kecemerlangan Atlet Paralimpik Kebangsaan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

SEMANGAT…. Nursyazwani Shahrom

Justeru Nursyazwani berharap dua kejohanan tersebut menjadi medan terbaik untuk meningkatkan prestasinya dan menjadi latihan terbaik untuknya sebagai persediaan mempertahankan kejuaraan menjelang temasya Sukan Para Sukma Kuala Lumpur Oktober kelak.

Nursyazwani dan rakan-rakannya ketika ini sering mengharungi perlawanan persahabatan selain menjalani latihan persendirian mengikut jadual.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Suhaili Leman yakin anak didiknya dapat mengekalkan prestasi terbaik mereka ketika saingan 2018 di Perak.

“Nursyazwani seorang pemain yang berpengalaman. Untuk Para Sukma Kuala Lumpur Oktober nanti beliau mungkin tidak berdepan masalah untuk mengekalkan penguasaannya selaku pemenang pingat emas dalam dua kategori kegemarannya,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Untuk rekod, skuad badminton Para Sukma Sarawak meraih lima pingat pada temasya di Perak 2018 iaitu dua emas, satu perak, dan dua gangsa.

Suara Sarawak