Omicron kini varian dominan tunggal di Sarawak

KUCHING: Varian Covid-19 Omicron disahkan telah menggantikan Delta sepenuhnya sebagai varian tunggal yang dominan di Sarawak.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Unimas, Dr David Perera berkata, kes positif Omicron telah dikenal pasti di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

“Sebanyak 77 sampel kes positif telah diproses dari 20 Januari hingga 6 Februari lalu dan 100 peratus dikenal pasti sebagai varian Omicron.

“Ini membuktikan bahawa Omicron telah menggantikan Delta sepenuhnya sebagai varian tunggal yang dominan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laporan terkini kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Jumaat.

Tambahnya, daripada sampel Omicron yang diproses, 71 dikenal pasti sebagai BA.1.1 dan tiga BA.1, manakala tiga lagi BA.2 yang mudah berjangkit (dikesan di Sibu, Miri dan Kuching).

Suara Sarawak