KUCHING: ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang secara rasminya dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu, hari ini.

Majlis istiadat angkat sumpah berkenaan disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri Sarawak sekitar jam 5 petang tadi.

Idris seorang peguam dan merupakan Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hadir mengangkat sumpah pelantikan tersebut mengenakan baju dan seluar melayu hitam.

Turut hadir Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Pelantikan tersebut menyaksikan Idris menggantikan jawatan yang telah dipegang oleh Adun Mulu, Datuk Gerawat Gala sejak Mei 2016 dan kini merupakan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek).

Suara Sarawak