Op Selamat: 4,418 saman dikeluarkan
BERCAKAP…Alexson bercakap kepada media sempena Op Motosikal yang diadakan di Lebuh Raya Kuching-Samarahan.

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 4,418 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas sempena Op Selamat yang dijalankan di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata kesemua saman itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti memandu melebihi had laju (2,322), kesalahan lesen memandu (182), muatan bahaya (78), kesalahan nombor pendaftaran (103), kesalahan ubah suai (75), halangan/parking (939) dan lain-lain kesalahan (719).

Selain itu katanya, polis juga memberi tumpuan kepada kesesakan lalu lintas sebagai perkhidmatan kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya pada musim perayaan ini.

“Sebanyak 27 lokasi yang sering berlaku kesesakan menjadi tumpuan dengan seramai 440 orang pegawai dan anggota trafik telah ditugaskan dalam sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina ini,” katanya kepada pemberita ketika Op Motosikal yang dijalankan di Lebuh Raya Kuching-Samarahan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat hari ini, sebanyak 187 kes kemalangan jalan raya dilaporkan dan jumlah itu menurun sebanyak 36 kes atau 16.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Alexson berkata, bagi kemalangan maut, jumlah yang berlaku bagi tempoh empat hari ini adalah sebanyak dua kes berbanding lapan kes pada tahun lepas.

“Ini menunjukkan penurunan sebanyak enam kes atau 75 peratus,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas agar usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya musim perayaan ini tercapai.

PERIKSA…Alexson memeriksa kenderaan di Lebuh Raya Kuching-Samarahan.

Suara Sarawak