KUCHING: Sebanyak 82 kompaun bernilai RM82,000 dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dari 11 hingga 17 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, daripada jumlah itu seramai 49 lelaki dan 26 perempuan dikompaun melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM75,000, manakala tujuh premis dikompaun berjumlah RM7,000 kerana gagal mematuhi SOP.

“Kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah gagal memastikan pekerja dan individu mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 17(1) dan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.

Justeru beliau mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi SOP demi kebaikan bersama.

Suara Sarawak